Skip to main content
JAKESS
Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Media

  • Utama
  • Media
  • Berita Terkini
  • KONVENSYEN USULUDDIN DAN KEKELUARGAAN ISLAM (KONWANIS) PERAK TELAH MENGANJURKAN SESI UCAPTAMA KHAS BERTAJUK "ISU-ISU KEKELUARGAAN ISLAM SOLUSI PERUNDANGAN ISLAM" BERTEMPAT DI AUDITORIUM UNIVERSITI SULTAN AZLAN SHAH (USAS)

KONVENSYEN USULUDDIN DAN KEKELUARGAAN ISLAM (KONWANIS) PERAK TELAH MENGANJURKAN SESI UCAPTAMA KHAS BERTAJUK "ISU-ISU KEKELUARGAAN ISLAM SOLUSI PERUNDANGAN ISLAM" BERTEMPAT DI AUDITORIUM UNIVERSITI SULTAN AZLAN SHAH (USAS)

Admin-Haeida

14 Oktober 2026

25



                       

                                                             

13 Oktober 2026, Kuala Kangsar — Konvensyen Usuluddin dan Kekeluargaan Islam (KONWANIS) Perak telah menganjurkan sesi ucaptama khas bertajuk “Isu-Isu Kekeluargaan Islam: Solusi Perundangan Islam” bertempat di Auditorium Universiti Sultan Azlan Shah (USAS). Sesi ucaptama berprestij ini telah disampaikan oleh Yang Amat Arif Puan Nenney Shuhaidah binti Shamsuddin, Ketua Hakim Syarie Selangor.

Dalam pencerahan beliau, YAA Ketua Hakim Syarie Selangor memberi penekanan terhadap pemerkasaan perundangan kekeluargaan Islam, keberkesanan pelaksanaan perintah mahkamah serta perlindungan hak wanita dan kanak-kanak.

Antara fokus utama yang disampaikan merangkumi:

Integriti dan Keberkesanan Perundangan: Kerangka perundangan Syariah memerlukan keseimbangan antara hukum syarak, undang-undang substantif, tatacara mal dan keterangan bagi memastikan keadilan dapat dinikmati secara nyata oleh pihak yang berhak.

* Perkahwinan Luar Negara: Beliau mengingatkan masyarakat agar mematuhi prosedur pengesahan dan pendaftaran perkahwinan luar negara. Kegagalan pendaftaran boleh memberi kesan serius terhadap status perkahwinan, hak nafkah serta kesahtarafan dan kebajikan anak-anak.

* Pembubaran Perkahwinan & Darar Syarie: Tuntutan pembubaran perkahwinan (seperti fasakh) hendaklah dimohon berdasarkan alasan statutori dan bukti kemudaratan yang sah di sisi syarak tanpa menafikan keadilan prosedural bagi kedua-dua belah pihak.

* * Hak Nafkah & Penguatkuasaan Perintah: Nafkah isteri dan anak merupakan hak asas yang mesti dilaksanakan. Penentuan kadar perlu mengambil kira keperluan sebenar dan kemampuan manakala mekanisme penguatkuasaan perintah mahkamah perlu terus diperkasakan.

* * Kebajikan Anak dalam Hadhanah: Hak penjagaan anak (hadhanah) bukanlah satu pertandingan antara ibu bapa sebaliknya proses undang-undang yang meletakkan kebajikan dan keselamatan kanak-kanak sebagai keutamaan dalam menentukan keputusan.

* Keadilan Harta Sepencarian: Penilaian harta sepencarian perlu mengambil kira sumbangan langsung (kewangan) dan sumbangan tidak langsung (pengurusan rumah tangga/keluarga) berdasarkan bukti yang sah.

Bagi memperkukuh institusi kekeluargaan dan perundangan Syariah, YAA Puan Nenney Shuhaidah turut mengemukakan beberapa langkah keutamaan:

1. Memperkukuh pendidikan undang-undang keluarga sebelum dan selepas perkahwinan.

2. Memperkemas pengurusan kes kekeluargaan bagi mengurangkan penangguhan prosiding.

3. Meningkatkan mutu penyelidikan kehakiman serta pemantapan penyediaan alasan penghakiman.

4. Memperkemas mekanisme pelaksanaan dan penguatkuasaan perintah mahkamah.

5. Meningkatkan kerjasama antara agensi (Mahkamah Syariah, pihak berkuasa agama, agensi kebajikan dan bantuan guaman).

6. Memperluas akses keadilan bagi masyarakat awam dan golongan berpendapatan rendah.

Program ini diharapkan dapat memberi pendedahan dan kefahaman yang jelas kepada masyarakat demi menegakkan keadilan serta kesejahteraan institusi kekeluargaan Islam