Skip to main content
JAKESS
Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Media

BENGKEL PELUPUSAN REKOD SIRI I BAGI MEMPERKASA PENGURUSAN REKOD JABATAN ANJURAN JAKESS

Admin-Haeida

22 June 2026

86



                                         

                                         

                                        

19 Jun 2026, Shah Alam – Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) melalui Seksyen Rekod telah menganjurkan Bengkel Pelupusan Rekod Siri I bagi Ahli Jawatankuasa Pelupusan Rekod Urusan Fungsian yang melibatkan Fail Kes Mal/Jenayah Tahun 2015 Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor.

Bengkel yang berlangsung di Pejabat Seksyen Rekod, Aras G, JAKESS ini bermula dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang dan bertujuan meningkatkan kefahaman serta kemahiran peserta berkaitan tatacara pengurusan, penyimpanan dan pelupusan rekod mengikut peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh Arkib Negara Malaysia.

Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta telah diberikan taklimat berkaitan kepentingan pengurusan rekod yang sistematik dalam memastikan rekod jabatan diurus secara cekap, selamat dan mematuhi kehendak perundangan. Peserta turut didedahkan dengan prosedur penyimpanan rekod, kaedah pengasingan fail mengikut kategori yang ditetapkan, penyediaan senarai pelupusan serta tatacara pemusnahan rekod berdasarkan Akta Arkib Negara 2003 (Akta 629) dan Jadual Pelupusan Rekod Urusan Fungsian JKSM yang berkuat kuasa.

Pada Bengkel Pelupusan Rekod Siri I ini, ahli jawatankuasa telah melaksanakan semakan, pengasingan dan penilaian rekod bagi Fail Kes Mal/Jenayah Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor yang telah mendapat kelulusan pelupusan dari Arkib Negara Malaysia. Proses tersebut melibatkan sebanyak 3,088 fail dengan ukuran keseluruhan 55.584 meter panjang, sekali gus menjadi antara aktiviti pelupusan rekod fungsian yang signifikan bagi tahun 2026. Pelaksanaan aktiviti ini bertujuan memastikan rekod yang telah tamat tempoh penyimpanan diurus dan dilupuskan secara teratur, sistematik dan mematuhi peraturan yang ditetapkan, di samping mengoptimumkan penggunaan ruang penyimpanan rekod jabatan.

Selain sesi taklimat, peserta turut menjalani latihan amali bagi memastikan setiap proses pelupusan rekod dilaksanakan dengan tepat dan mematuhi prosedur yang ditetapkan. Pendekatan ini membantu meningkatkan kefahaman peserta terhadap kepentingan tadbir urus rekod yang berkesan serta peranan mereka dalam memastikan integriti pengurusan rekod jabatan sentiasa terpelihara.

Bengkel ini dikendalikan oleh fasilitator daripada Seksyen Rekod JAKESS iaitu Encik Sofian bin Ibrahim, Puan Nuraziraakmar binti Othman dan Puan Khairun Iman Nadhira binti Norazli. Penglibatan aktif para peserta sepanjang bengkel berlangsung telah membantu mencapai objektif program serta memperkukuhkan kefahaman mengenai pelaksanaan pelupusan rekod yang berkesan dan mematuhi kehendak perundangan.

Penganjuran Bengkel Pelupusan Rekod Siri I ini mencerminkan komitmen berterusan JAKESS dalam memperkukuh tadbir urus rekod jabatan melalui pelaksanaan proses pelupusan yang sistematik, cekap dan berintegriti. Inisiatif ini juga selaras dengan usaha berterusan jabatan untuk memastikan rekod yang mempunyai nilai arkib dipelihara dengan sempurna, manakala rekod yang telah tamat tempoh penyimpanan dilupuskan mengikut peraturan yang ditetapkan demi meningkatkan keberkesanan pengurusan rekod organisasi.