Skip to main content
JAKESS
Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Perkhidmatan

Hakam

Pengenalan Mengenai Hakam

PENGERTIAN TAHKIM
Tahkim dari sudut etimologi bermaksud "memberi kuasa menjatuhkan hukuman kepada seseorang" atau "menjadikan (menyerahkan) hukuman pada sesuatu yang bagi engkau kepada orang lain" atau "pengambilan seseorang oleh dua orang yang bertikai dengan persetujuan keduanya, supaya orang itu menyelesaikan pertikaian dan dakwaan keduanya".

Manakala dari sudut terminologi bermaksud "satu proses di mana pihak-pihak yang bertikai melantik seseorang untuk menjadi hakam bagi menyelesaikan pertikaian yang timbul di antara mereka berlandaskan hukum Syara".

Pelaksanaan Tahkim di dalam Mahkamah Syariah berlaku apabila individu lain yang diserahkan tugas oleh pihak-pihak atau diserahkan tugas oleh Mahkamah bagi menyelesaikan pertikaian dan persengketaan pihak-pihak dalam perkahwinan melalui Majlis Tahkim sama ada penyelesaian melalui cara perdamaian atau perceraian.

Orang yang dilantik oleh pihak-pihak bagi mengadili pertikaian tersebut dinamakan sebagai Hakam atau Muhakkam. Manakala majlis atau pertemuan yang diadakan itu dinamakan sebagai Majlis Tahkim.

Maksud Hakam
Hakam dikenali sebagai arbitrasi atau timbang tara dan boleh diertikan sebagai memberi kuasa menjatuhkan sesuatu hukuman kepada seseorang. Manakala dari sudut istilah iaitu satu proses dimana pihak-pihak yang bertikai melantik seseorang atau hakam bagi menyelesaikan pertikaian yang timbul di antara pihak-pihak berlandaskan hukum syarak.

DEFINISI 

Hakam:

Seseorang penimbang tara yang diberi kuasa oleh pihak-pihak atau oleh Mahkamah untuk menyelesaikan perkelahian (shiqaq) antara suami dan isteri.

Shiqaq:

Perkelahian antara suami dan isteri yang berlarutan sehingga menjejaskan kerukunan rumah tangga.

Majlis Tahkim: 

Sesi timbang tara yang melibatkan pertemuan suami dan isteri bersama dengan Hakam untuk tujuan perdamaian atau perceraian dengan lafaz talaq atau khul’.

Hakam kerabat: 

Nama lainnya Hakam Wakalah ialah penimbang tara yang dilantik oleh suami dan isteri  dalam kalangan saudara mara masing-masing, terdiri daripada lelaki atau perempuan , yang memenuhi kelayakan seorang Hakam serta mempunyai pengetahuan asas dalam hal kekeluargaan dan Hukum Syarak untuk menyelesaikan perkelahian (shiqaq) antara suami dan isteri.

Anggota Panel Hakam: 

Panel Hakam yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Selangor atas cadangan Jawatankuasa Hakam yang berperanan sebagai penimbang tara yang diberi kuasa penuh oleh oleh Mahkamah untuk menyelesaikan perkelahian (shiqaq) antara suami dan isteri.

PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG 

Seksyen 48 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003  

Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014

Latar Belakang Hakam Negeri Selangor

Definisi umum yang berkaitan dengan “Tahkim” dari segi bahasa, yang bermaksud “memberi kuasa menjatuhkan hukuman kepada seseorang”, manakala, “Tahkim” menurut istilah mempunyai maksud yang hampir sama dengan maksud dari segi bahasa, kerana ia membawa erti “sesuatu proses yang melibatkan pihak-pihak yang bertikai melantik seseorang untuk menjadi hakam bagi menyelesaikan pertikaian yang timbul di antara mereka berlandaskan Hukum Syarak.” Proses “Tahkim” ini hampir menyamai dengan proses “al-qadha’” atau “kehakiman”, namun, dari segi kedudukannya, ia adalah lebih rendah dari “al-qadha’” atau “kehakiman”.

“Hakam” pula membawa maksud “orang yang dilantik untuk mengadili mereka yang bertikai itu”.

Secara umumnya, perkataan Hakam ini telah disebut secara umum dalam Al-Quran, surah an-Nisa’ ayat 58:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”.

Secara khususnya pula, Hakam disebut di dalam Ayat surah an-Nisa’ ayat 35:

“Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah seorang pendamai dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua pendamai itu menghendaki perdamaian, nescaya Allah berikan taufik kepada suami isteri itu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuanNya.”.

Menurut pendapat Imam Al- Syafie, Hakam tidak harus dilaksanakan dalam perkara yang melibatkan qisas, nikah dan li’an kerana kes-kes ini adalah hak-hak yang didasarkan kepada konsep ihtiyat (konsep berhati-hati) dan perlu didengar oleh hakim sahaja.

Walau bagaimanapun, pendapat Imam Ibn Ahmad telah menyatakan bahawa, Hakam mempunyai kuasa utk memisahkan kedua pasangan dengan talaq bain, sekalipun tanpa keizinan. Hal ini berlaku, apabila jalan perdamaian gagal diwujudkan antara suami isteri yang berbalah.

Atas sebab itu, peruntukan mengenai Hakam ini telah pun dikanunkan dalam undang- undang secara bertulis di seluruh Malaysia sejak dari tahun 1980an. Di Negeri Selangor, peruntukan Hakam ini telah dinyatakan secara khusus di bawah seksyen 48 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 1984. Apabila Negeri Selangor meluluskan undang-undang keluarga Islam yang baharu, iaitu Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 bagi menggantikan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 1984, peruntukan mengenai Hakam ini masih dikekalkan di bawah seksyen yang sama.

Berdasarkan kepada seksyen 48 EUKIS tersebut, telah diperuntukkan antara lain, bahawa, “Jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkelahian (shiqaq) sentiasa berlaku antara pihak-pihak kepada suatu perkahwinan, Mahkamah boleh melantik, mengikut Hukum Syarak, dua orang penimbangtara atau Hakam untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri yang berkenaan itu masing-masing.”. Selain itu, peruntukan seksyen 48 itu juga  telah menyatakan tentang prosedur umum yang berkaitan dengan pelaksanaan Hakam dalam prosiding penceraian.

Seterusnya, pada tahun 2006, Arahan Amalan Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, No. 1 Tahun 2006 yang melibatkan pelaksanaan  Hakam Mahkamah Syariah telah dikeluarkan dan diguna pakai di Negeri Selangor dan Negeri-negeri di seluruh Malaysia. Kewujudan Arahan Amalan tersebut, telah mendorong Mahkamah Syariah Selangor untuk mula melaksanakan prosiding Hakam secara lebih aktif dalam prosiding penceraian dengan melibatkan Pegawai Sulh Selangor sebagai Hakam.

Namun pada waktu itu, proses kerja Hakam yang masih kurang jelas telah  menyebabkan pelaksanaan Hakam dilaksanakan dengan versi yang pelbagai oleh para  Hakim. Ini telah menyebabkan timbulnya kekeliruan dan kecelaruan dalam melaksanakan prosidng hakam di Mahkamah Syariah.

Selain itu, mahkamah sering berhadapan dengan masalah hakam-hakam yang dilantik oleh suami dan isteri dari kalangan saudara karib mereka sendiri, yang tidak kompeten untuk menjadi Hakam kerana mereka tidak memahami dari aspek Hukum Syarak yang berkaitan dengan fungsi Hakam, sehingga mereka gagal untuk menjalankan tugas sebagai Hakam yang sepatutnya menjadi orang tengah atau penimbang tara antara suami dan isteri yang sedang berbalah.

Keadaan ini telah menyebabkan banyak kes yang dirujuk kepada Hakam gagal untuk menyelesaikan masalah pertikaian antara suami isteri. Malah  prosiding Hakam juga dilihat sebagai mampu untuk mempercepatkan proses perceraian bagi pihak-pihak yang berhasrat untuk membubarkan perkahwinan mereka.

Kesannya, masyarakat yang mempunyai masalah dalam rumah tangga mereka pada waktu itu, masih terus cenderung untuk menfailkan kes-kes pembubaran perkahwinan melalui tuntutan cerai ta’liq dan fasakh. Sedangkan prosiding yang melibatkan tuntutan cerai ta’liq dan fasakh ini pada kebiasannya akan mengambil masa yang agak lama untuk diselesaikan. Ini kerana pengendalian kes-kes tersebut melibatkan banyak proses dan prosedur yang telah ditetapkan oleh undang-undang, yang wajib dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat dalam kes ini.

Justeru, JAKESS berpandangan suatu kaedah yang lebih jelas dengan penggubalan Kaedah Hakam Selangor yang pada peringkat awalnya melibatkan Ahli Jawatankuasa Kaedah Mahkamah Syariah Selangor yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Syarie dan dihadiri oleh S.S Dato’ Setia Mufti Selangor, wakil daripada Jabatan Peguam Negara, beberapa orang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah Selangor, wakil peguam Syarie, wakil Jabatan Bantuan Guaman Selangor dan Ketua Pendaftar Selangor.

Hasilnya, Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014 (Kaedah Hakam Selangor) telah berjaya diwartakan pada 8 Mei 2014. Kaedah Hakam Selangor ini adalah perincian kepada seksyen 48 EUUKIS 2003, yang antara lain, memperuntukkan tentang prosedur prosiding Hakam yang lebih jelas dan terperinici, yang mampu menyeragamkan tindakan prosiding Hakam yang dikendalikan oleh para Hakim dan Hakam yang dilantik.

Selain itu, Kaedah Hakam Selangor ini juga telah mewujudkan anggota Panel Hakam Selangor yang kompeten dan terlatih, yang mampu mengendalikan prosiding Hakam secara lebih teratur dan berkesan. Pewujudan anggota Panel Hakam ini telah dapat menyelesaikan masalah kesukaran suami atau isteri dalam melantik hakam yang kompeten untuk mengendalikan kes mereka. Ini kerana suami atau isteri tersebut boleh memohon kepada Mahkamah untuk melantik mana-mana anggota Panel Hakam Selangor yang telah diberi latihan yang secukupnya untuk mengendalikan kes mereka.

Bagi tujuan kawalan dan seliaan, anggota Panel Hakam ini juga ditadbir oleh Jawatankuasa Hakam Selangor yang diwujudkan di bawah kaedah yang sama, yang bertanggungjawab untuk memastikan semua anggota Panel Hakam Selangor yang dilantik mematuhi kriteria pelantikan yang ditetapkan oleh undang-undang dan mematuhi  segala peraturan dan etika yang ada.

Selepas pewartaan kaedah ini, Negeri Selangor telah menjadi Negeri pertama di Malaysia yang berjaya mewujudkan kaedah komprehensif dan khusus, yang melibatkan pelaksanaan Hakam .Antara pewujudan kaedah ini, antara lain, adalah untuk memperkemaskan lagi fungsi Hakam, yang bertanggungjawab untuk mendamaikan suami isteri yang sentiasa berbalah antara satu sama lain. Sebaliknya, sekiranya usaha perdamaian itu gagal, barulah penceraian itu akan berlaku, tetapi dengan cara yang lebih harmoni kerana pihak-pihak tidak perlu melalui proses perbicaraan yang panjang, yang biasanya akan dikendalikan di mahkamah terbuka.