Soalan 1
Apakah yang dimaksudkan dengan Majlis Sulh?
Jawapan :
Majlis Sulh merupakan majlis perbincangan bersama antara pihak-pihak yang terlibat dalam suatu pertikaian melibatkan satu atau lebih tuntutan yang difailkan di Mahkamah Syariah yang dipengerusikan oleh Pegawai Sulh bagi mencapai penyelesaian yang dipersetujui secara bersama oleh pihak-pihak yang bertikai. Sekiranya majlis sulh tersebut berjaya mencapai persetujuan secara sukarela antara pihak-pihak yang bertikai, ia akan direkodkan sebagai Perjanjian Penyelesaian Bersama sebelum direkodkan oleh Hakim sebagai Perintah Mahkamah tanpa melalui proses perbicaraan.
Soalan 2
Adakah Majlis Sulh dibenarkan mengikut Hukum Syarak?
Jawapan :
Majlis Sulh adalah dibenarkan bahkan dituntut mengikut Hukum Syarak sebagaimana disebut di dalam Al-Quran firman Allah di dalam surah Al-Hujurat ayat 9 yang bermaksud : “Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah diantara keduanya”.
Allah S.W.T. juga berfirman di dalam Surah al-Nisa’ ayat 128 yang bermaksud: “Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya nusyuz (kebencian) atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian diantara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya) kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai berai)”.
Hadis Riwayat al-Tarmizi dari Amru bin ‘Awf Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “ Sulh, hukumnya adalah harus di antara orang Islam melainkan menjadi haram jika ianya mengharamkan apa yang dihalalkan dan menghalalkan apa yang diharamkan”.
Soalan 3
Apakah peruntukan undang-undang yang berkaitan dengan pelaksanaan Majlis Sulh?
Jawapan :
- Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
- Seksyen 99 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
- Kaedah-Kaedah Tatacara Mal (Sulh) (Negeri Selangor) 2001.
- Arahan/Pekeliling Ketua Hakim Syarie Selangor.
- Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia .
- Manual Kerja Sulh Mahkamah Syariah/Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-negeri Seluruh Malaysia
Soalan 4
Di manakah Majlis Sulh dilaksanakan?
Jawapan :
Majlis Sulh dilaksanakan di premis Mahkamah Syariah lazimnya di dalam Bilik Sulh. Walau bagaimanapun, dalam hal keadaan tertentu seperti semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19, Majlis Sulh boleh dilaksanakan dengan persetujuan pihak-pihak dari tempat masing-masing dan dibuat secara online.
Soalan 5
Siapakah pihak-pihak yang dibenarkan hadir di dalam Majlis Sulh?
Jawapan :
Hanya pihak-pihak yang terlibat dengan pertikaian yang dibenarkan hadir di dalam Majlis Sulh iaitu Plaintif dan Defendan selain Pengerusi iaitu Pegawai Sulh.
Soalan 6
Adakah pihak-pihak seperti Peguam Syarie, ibu,bapa,kenalan atau selainnya dibenarkan turut serta di dalam Majlis Sulh?
Jawapan :
Tidak dibenarkan melainkan dengan kebenaran Pengerusi iaitu Pegawai Sulh dengan sebab-sebab yang munasabah dan perlu seperti Penterjemah Bahasa Isyarat bagi Orang Kelainan Upaya (OKU).
Soalan 7
Apakah status maklumat yang dibincangkan semasa pelaksanaan Majlis Sulh?
Jawapan :
Segala butiran dan maklumat yang dibincangkan di dalam Majlis Sulh adalah bersifat kerahsiaan (antara pihak-pihak dan Pegawai Sulh sahaja).
Soalan 8
Apakah Kes-Kes di Mahkamah Syariah yang boleh dibawa ke Majlis Sulh?
Jawapan :
Kes-kes yang dibawa ke Majlis Sulh adalah seperti yang dinyatakan dalam Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia No. 1 Tahun 2010 iaitu:
- Gantirugi pertunangan;
- Mutaah;
- Harta Sepencarian;
- Nafkah Isteri;
- Nafkah Iddah;
- Ubah Perintah Nafkah;
- Tunggakan Nafkah;
- Nafkah Anak;
- Ubah Perintah Hak Jagaan/ Nafkah Anak;
- Ubah Perjanjian Hak Jagaan/ Nafkah Anak;
- Hadhanah; dan
- Gantirugi Perkahwinan.
Soalan 9
Adakah pihak-pihak (Plaintif atau Defendan) perlu memohon untuk ke Majlis Sulh?
Jawapan :
Pihak-pihak tidak perlu untuk memohon ke Majlis Sulh. Semua kes seperti di dalam senarai di atas telah dikategorikan sebagai kes-kes yang perlu dirujuk ke Majlis Sulh semasa peringkat pendaftaran kes di Mahkamah Syariah.
Soalan 10
Adakah terdapat pengecualian untuk kes-kes yang disenaraikan di atas tidak perlu melalui Majlis Sulh?
Jawapan :
Ya. Pengecualian adalah diberi bagi kes-kes yang telah melalui proses pengantaraan di Jabatan Bantuan Guaman (JBG), atau Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) atau diwakili Peguam Syarie dan telah mempunyai Perjanjian Persetujuan yang sedia untuk direkodkan di hadapan Hakim Syarie sebagai Perintah Mahkamah.
Soalan 11
Bagaimanakah pihak-pihak dimaklumkan untuk kehadiran di Majlis Sulh?
Jawapan :
Mahkamah akan menetapkan tarikh Majlis Sulh pada hari yang sama kes didaftarkan dan pihak-pihak akan dimaklumkan untuk kehadiran di Majlis Sulh melalui Notis Kehadiran Majlis Sulh. Notis tersebut akan diserahkan kepada pihak satu lagi (Defendan) sebagaimana digariskan di dalam Arahan Amalan JKSM No.8 Tahun 2016.
Soalan 12
Bagaimanakah jika pihak-pihak (Plaintif dan Defendan) atau salah satu pihak gagal hadir pada waktu dan masa yang ditetapkan?
Jawapan :
Pegawai Sulh akan menimbangkan alasan ketidakhadiran (jika ada) bagi menentukan sama ada kes Sulh perlu ditangguhkan ataupun tidak. .Sekiranya kes Sulh ditangguhkan, Notis Tangguhan Majlis Sulh akan dikeluarkan untuk memberi peluang pihak-pihak hadir semula di Majlis Sulh. Ketidakhadiran kedua-dua pihak atau salah satu pihak boleh menyebabkan kes dalam prosiding Sulh dipanjangkan untuk peringkat sebutan dan seterusnya perbicaraan.
Soalan 13
Adakah Majlis Sulh akan melalui proses perbicaraan sekiranya berjaya?
Jawapan :
Tidak. Sekiranya pihak-pihak berjaya mencapai persetujuan, satu Perjanjian Penyelesaian akan disediakan oleh Pegawai Sulh untuk disemak dan ditandatangani oleh pihak-pihak sebelum dirujukkan kepada Hakim Syarie untuk direkodkan sebagai Penghakiman Persetujuan (Perintah) Mahkamah pada hari yang sama tanpa melalui proses perbicaraan.
Soalan 14
Bagaimanakah jika pihak-pihak yang terlibat dalam Majlis Sulh gagal mencapai persetujuan?
Jawapan :
Sekiranya pihak-pihak gagal mencapai persetujuan, prosiding Majlis Sulh akan ditamatkan dan kes Sulh dilaporkan sebagai gagal. Seterusnya pihak-pihak akan melalui proses sebutan dan perbicaraan di hadapan Hakim sama seperti kes-kes yang lain yang dibicarakan.
Soalan 15
Berapa lamakah tempoh masa bagi prosiding Majlis Sulh?
Jawapan :
Jangkamasa yang diambil untuk Majlis Sulh diselesaikan adalah tidak melebihi 90 hari. Sekiranya pihak-pihak berjaya mencapai persetujuan semasa prosiding pertama Majlis Sulh, Perjanjian Penyelesaian Bersama akan dan dirujukkan kepada Hakim Syarie untuk direkodkan sebagai Penghakiman Persetujuan (Perintah) Mahkamah pada hari yang sama kes Sulh selesai.
Soalan 16
Apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh pihak-pihak setelah menerima Perintah Mahkamah (Penghakiman Persetujuan)?
Jawapan :
Pihak-pihak perlu mematuhi segala terma yang telah dipersetujui sebagaimana Perintah Mahkamah tanpa gagal. Sebarang pelanggaran dan kegagalan mematuhi Perintah Mahkamah boleh dikenakan tindakan Pelaksanaan atau Penguatkuasaan Perintah atau penghinaan atau lain-lain Perintah yang sewajarnya.
Soalan 17
Adakah kes di Mahkamah yang selesai secara persetujuan bersama atau Majlis Sulh boleh ditarik balik atau di rayu?
Jawapan :
Tidak boleh ditarik balik atau dirayu oleh mana-mana pihak (sila rujuk Arahan Amalan JKSM No.4 Tahun 2011).
Soalan 18
Bolehkah pihak-pihak mengubah persetujuan yang telah direkodkan sebagai Perintah Mahkamah?
Jawapan :
Pihak-pihak boleh membuat Tuntutan Mengubah Perintah bagi perintah nafkah anak dan hak jagaan anak sahaja dengan menyatakan perubahan matan yang berlaku dalam terma perintah sebagai contoh perubahan perbelanjaan nafkah anak yang meningkat disebabkan kos pendidikan.
Soalan 19
Apakah kelebihan Majlis Sulh?
Jawapan :
- Penyelesaian kes antara pihak-pihak yang bertikai dapat disegerakan tanpa melalui perbicaraan.
- Mewujudkan “win-win situation” di antara pihak bertikai.
- Penyelesaian secara damai dan sukarela.
- Perundingan secara terpimpin dan saksama tanpa dominasi sebelah pihak
- Elemen kerahsiaan sentiasa dijaga
Soalan 20
Apakah faktor yang menyebabkan Majlis Sulh gagal?
Jawapan :
- Tiada kerjasama pihak-pihak untuk mencapai persetujuan
- Kegagalan memberi komitmen untuk hadir dalam Majlis Sulh
- Bertindak secara emosi, tidak bertolak ansur dan mementingkan diri sendiri.
- Mengungkit kisah lampau tanpa mengutamakan kepentingan di masa hadapan.
- Tidak berkeupayaan dan tiada maklumat untuk membuat keputusan
Soalan 21
Berikutan langkah kerajaan melaksanakan PKP akibat Covid-19, adakah Majlis Sulh masih dijalankan seperti biasa dengan kehadiran pihak-pihak secara fizikal?
Jawapan :
Ya. Majlis Sulh masih dijalankan secara fizikal dengan kehadiran pihak-pihak sesuai dengan cara kerja norma baharu bagi mencegah penularan Covid-19 mengikut SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Soalan 22
Adakah Majlis Sulh boleh dilaksanakan secara online (dalam talian)?
Jawapan :
Ya. Majlis Sulh boleh dibuat secara dalam talian terutama bagi pihak-pihak yang tidak dapat hadir ke Majlis Sulh disebabkan kekangan merentas daerah/negeri/negara akibat Covid-19 atau atas sebab-sebab yang lain.
Soalan 23
Bagaimanakah permohonan untuk Majlis Sulh secara dalam talian?
Jawapan :
Pihak-pihak perlu mengisi Borang Permohonan Majlis Sulh dan Pengendorsan secara dalam talian dan mengikut garis panduan yang ditetapkan sebagaimana di mukasurat 49-60 Garis Panduan Operasi Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Vol.4 (27 Oktober 2020) dengan merujuk laman web www.jakess.gov.my .
Soalan 24
Apakah aplikasi yang digunakan untuk melaksanakan Majlis Sulh secara atas dalam talian?
Jawapan :
Pihak-pihak perlu menggunakan aplikasi Skype for business. Sekiranya aplikasi tersebut tidak dapat digunakan, pihak-pihak boleh juga menggunakan alternatif lain seperti aplikasi Google Meet, Zoom, Microsoft team dan sebagainya atau apa-apa aplikasi atas talian lain yang ditetapkan oleh Mahkamah.
Soalan 25
Bagaimanakah pihak-pihak dimaklumkan untuk prosiding Majlis Sulh secara dalam talian?
Jawapan :
Mahkamah akan memaklumkan kepada pihak-pihak melalui e-mail pautan link kepada Majlis Sulh secara atas talian selewatnya 15 minit atau satu hari sebelum prosiding Majlis Sulh bermula.
Soalan 26
Di manakah maklumat lanjut boleh diperolehi bagi proses Majlis Sulh secara dalam talian?
Jawapan :
Pihak-pihak boleh merujuk kepada Garis Panduan Operasi Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Vol.4 (27 Oktober 2020) di muka surat 49-60 dengan merujuk laman web www.jakess.gov.my.
Soalan 27
Adakah Majlis Sulh secara dalam talian adalah sama seperti Majlis Sulh yang dilaksanakan secara fizikal?
Jawapan :
Ya. Majlis Sulh secara dalam talian dan Majlis Sulh yang dilaksanakan secara fizikal adalah sama kedua-duanya dari sudut perundangan dan peraturan yang dirujuk. Hanya cara pelaksanaan dan lokasi Majlis Sulh sahaja yang berbeza memandangkan ianya dibuat secara dalam talian.
Soalan 28
Adakah pengendorsan bagi persetujuan yang dicapai melalui Majlis Sulh dalam talian juga boleh dibuat pada hari yang sama?
Jawapan :
Ya. Perjanjian Persetujuan boleh diendorskan di hadapan Hakim Syarie pada hari yang sama tertakluk kepada kesediaan pihak-pihak, dokumen yang telah lengkap ditandatangani dan kesediaan Mahkamah dari sudut teknikal untuk mengendalikan prosiding pengendorsan secara dalam talian.
Soalan 29
Apakah yang perlu dilakukan sekiranya pihak-pihak ingin menarik balik kes yang telah difailkan sebelum PKP dan masih di peringkat Majlis Sulh?
Jawapan :
Pihak-pihak perlu memaklumkan kepada Pendaftar atau Penolong Pendaftar di Mahkamah yang berkenaan dan mengisi Notis Penarikan Balik Kes serta memfailkan notis tersebut di Mahkamah yang berkenaan.