Skip to main content
JAKESS
Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Mahkamah Rendah Syariah Klang

Latar Belakang

PENDAHULUAN
Asal usul nama Klang adalah dari bahasa Mon-Khymer iaitu "Klong". Klong boleh diertikan sebagai gudang seperti mana yang di kemukakan oleh C.O. Blagden yang menyatakan Klang menjadi sebuah Pelabuhan terpenting yang mempunyai banyak gudang-gudang. Manakala pendapat Charles A. Fishr yang menyatakan "Klang" itu bermaksud "terusan" atau jalan air. Pendapat ini dipersetujui dimana Klang mempunyai banyak jalan air iaitu anak-anak sungai tersebut ialah Sg. Klang, Sg. Bertek, Sg. Pinang, Sg. Sementa, Sg. Agas, Sg. Kandis, Sg. Binjai, Sg. Kapar, Sg. Jati, Sg. Aur, Sg. Rasau dan Sg. Putus. Nama sungai ini terus kekal sehingga ke hari ini.

Daerah Klang mempunyai keluasan 573km² (202 batu persegi) dengan populasi jumlah penduduk seramai 842,146 orang. Justeru, bagi menjaga kemaslahatan umat Islam di dalam daerah Klang ini telah ditubuhkan sebuah Pejabat Agama Islam Daerah dan Mahkamah Rendah Syariah Daerah.

SEJARAH PENUBUHAN MAHKAMAH RENDAH SYARIAH KLANG

Tahun 1990
Sejarah awal penubuhan Mahkamah Rendah Syariah Klang bermula seawal tahun 1990 lagi di Daerah Kuala Langat. Ketika itu, operasi Mahkamah Rendah Syariah Klang adalah berkongsi bersama dua daerah yang lain iaitu Kuala Langat dan Sepang. Pada tahun 1990 pentadbiran Mahkamah Syariah adalah di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Pada ketika itu kakitangan Mahkamah Rendah Syariah Klang yang berkhidmat adalah seramai 6 orang (Hakim, Penolong Pendaftar, Pembantu Pegawai Syariah, Penghantar Notis, Pembantu Setiausaha Pejabat dan Pembantu Tadbir).

Pada bulan Ogos 1991, Pentadbiran Mahkamah Syariah telah diasingkan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), tetapi masih kekal beroperasi dibangunan yang sama dengan bilangan pegawai dan kakitangan yang tidak bertambah.

Tahun 2002
Mahkamah Syariah Rendah Klang telah berpindah dari Daerah Kuala Langat ke Bangunan Lama Pejabat Agama Islam Daerah Klang sekitar tahun 2002. Bangunan ini dikongsi dengan Pejabat Agama Daerah Klang di mana PAID menduduki tingkat bawah sementara Mahkamah Rendah Syariah Klang menduduki tingkat pertama.

Bangunan Lama Pejabat Agama Islam Daerah Klang ini dahuluinya juga dikenali sebagai Istana Singgah, Sultan Selangor DYMM Sultan Allaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa. Bangunan ini telah diperbaharui pada tahun 2001. Ia kekal sebagai Pejabat Agama Islam Klang sehingga ia dipindahkan dan diserahkan kepada PADAT pada 6 Julai 2012. Bangunan ini secara rasmi diganti nama sebagai Bangunan Lama Pejabat Agama Islam Daerah Klang dan menjadi salah satu bangunan bersejarah di Klang.

Tahun 2005
Pada tahun 2005 Mahkamah Rendah Syariah Klang sekali lagi telah berpindah dari Bangunan Lama Pejabat Agama Islam Daerah Klang ke Tingkat 3, Unit 3-05 dan 3-06 Garden Business Centre, No 3 Jalan Istana, 41000 Klang iaitu bersebelah dengan Puteri Garden Hotel. Perpindahan ini adalah bagi memberikan keselesaan dan perkhidmat yang terbaik kepada pelanggan Mahkamah Syariah.

Tahun 2012
Pada 12 Julai 2012, Mahkamah Rendah Syariah Klang mencatat sejarah tersendiri apabila berpindah ke bangunan sendiri di Jalan Haji Sirat. Pada hari Isnin, 23 Julai 2012 bersamaan 3 Ramadan 1434H, Mahkamah Rendah Syariah Klang dengan rasmi memulakan operasi sepenuhnya di bangunan sendiri.

Pada 9 November 2012, satu Majlis Perasmian Pembukaan Mahkamah Rendah Syariah Klang telah diadakan dengan dirasmikan oleh YAA Dato’ Haji Mukhyuddin bin Haji Ibrahim, Ketua Hakim Syarie Selangor.

Kini Mahkamah Rendah Syariah Klang mempunyai seramai 21 orang Pegawai dan Kakitangan yang berkhidmat di mahkamah ini bagi memastikan perkhidmatan yang terbaik dapat diberikan kepada pelanggan yang hadir berurusan di mahkamah syariah. Bagi memastikan kelancaran perjalanan kes-kes di Mahkamah Rendah Syariah Klang ini, sebanyak tiga buah dewan bicara disediakan bagi menampung pertambahan jumlah kes yang difailkan di mahkamah ini dapat diuruskan sebaik mungkin selaras dengan titah Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Hakim-Hakim Mahkamah Rendah Syariah Klang yang pernah berkhidmat adalah seperti berikut:

1. Almarhum Dato' Haji Mukhyuddin Bin Hj Ibrahim
2. Tuan Salehan bin Yatim
3. Tuan Mohamed Fouzi bin Mokhtar
4. Tuan Nik Asrulnizam bin Mustapha
5. Tuan Mohd Shukran bin Yusof
6. Tuan Abdul Malek bin Soleh
7. Tuan Nor Afizi Fitri bin Ab Manaf
8. Tuan Mohd Nahar bin Mohamad
9. Tuan Mohd Lutfi bin Ahmad Khuzaini
10. Tuan Mohd Hairuddin bin Ab Rahim
11. Tuan Ali Najmi bin Noordin
12. Tuan Norul Azhar bin Tohar
13. Puan Nadiah binti Khamis
14. Tuan Husaini bin Roslin
15. Tuan Mohd Hannan bin Jalil
16. Tuan Mohamed Hizwan bin Mohamed Noor
Bangunan Lama Mahkamah Rendah Syariah Klang
Bangunan Baru Mahkamah Rendah Syariah Klang

Hubungi Kami

  • Mahkamah Rendah Syariah Klang,
    Jalan Haji Sirat, Taman Seri Pekan,
    42100 Klang,
    Selangor
  • +(603) 3358 6300
  • +(603) 3358 6308
  • Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.