Skip to main content
JAKESS
Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Info Jabatan

Bidangkuasa Mahkamah

  • Mahkamah Rayuan Syariah

    Mahkamah Rayuan Syariah mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan apa-apa rayuan terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah dalam menjalankan bidangkuasa asalnya dan juga terhadap keputusan rayuannya dari Mahkamah Rendah Syariah. Kuasa ini jelas boleh dilihat di dalam peruntukkan Seksyen 67(1), Seksyen 67(2) dan Seksyen 67(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

    Seksyen 67(1)
    Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mempunyai bidangkuasa untuk mendengar apa-apa rayuan terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah dalam bidangkuasa asalnya.

    Seksyen 67(2)

    Apabila suatu rayuan daripada suatu keputusan Mahkamah Rendah Syariah telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah boleh atas permohonan mana-mana pihak memberikan kebenaran bagi pemutusan olehnya apa-apa persoalan undang-undang berkepentingan awam yang telah timbul dalam perjalanan rayun itu dan keputusannya oleh Mahkamah Tinggi Syariah telah menyentuh keputusan rayuan itu.

    Seksyen 67(3)

    Apabila kebenaran telah diberikan oleh Mahkamah Rayuan Syariah, ia hendaklah mendengar dan memutuskan persoalan yang dibenarkan dirujukkan bagi keputusannya dan membuat apa-apa perintah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah dan sebagaimana yang difikirkan adil bagi pemberesan rayuan itu.

    Mahkamah Rayuan Syariah juga mempunyai bidangkuasa pengawasan dan penyemakan ke atas Mahkamah Tinggi Syariah. Hal ini telah diperuntukkan di dalam Seksyen 68(1) dalam Akta yang sama. Seksyen tersebut telah memperuntukkan bahawa:

    Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mempunyai bidangkuasa pengawasan dan penyemakan ke atas Mahkamah Tinggi Syariah dan boleh, jika nampaknya dikehendaki demi kepentingan keadilan, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas kehendak mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam apa-apa perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah, memanggil dan memeriksa mana-mana rekod mengenai apa-apa arahan yang dikehendaki demi keadilan.

  • Mahkamah Tinggi Syariah

    Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor mempunyai bidangkuasa di Seluruh Negeri Selangor. Peruntukan ini terkandung dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Berkenaan dengan jenis bidang kuasanya, ianya terbahagi kepada dua iaitu bidangkuasa jenayah dan bidangkuasa mal/sivil. Seksyen 61(3)(a) & (b) telah memperuntukkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Tinggi Syariah. Peruntukkan tersebut berbunyi:

    67(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah

    (a) Dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (En. No.9/1995) atau di bawah mana-mana undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam, dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukan bagi kesalahan itu; dan

    (b) Dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam dan yang berhubungan dengan

    i - Pertunangan, perkahwinan, ruju’, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan di antara suami isteri.

    ii - Apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam sub perenggan (i);

    iii - Nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) budak-budak;

    iv - Pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;

    v - Wasiat atau alang semasa marad-al-maut;

    vi - Alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang, oleh seorang Islam;

    vii - Wakaf atau nazr;

    viii - Pembahagian dan pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat;(ix) Penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang yang matu yang beragama Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak;

    x - Pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi seorang Islam;

    xi - Pengishtiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang islam atau sebaliknya pada masa kematiannya; dan

    xii - Pentadbiran masjid-masjid; dan

    xiii - Perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang undang bertulis.

  • Mahkamah Rendah Syariah

    Mahkamah Rendah Syariah Negeri Selangor ditubuhkan berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 55(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Akta tersebut memperuntukan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan, di atas nasihat majlis melalui pemberitahuan dalam Warta menubuhkan Mahkamah Rendah Syariah bagi Negeri Selangor di tempat-tempat yang difikirkannya patut.

    Bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah pula diperuntukan di bawah Seksyen 62(1) iaitu sesuatu Mahkamah Rendah Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri Selangor dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Rendah.

    Selain itu dalam Seksyen 62(2) dalam akta yang sama menjelaskan bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah iaitu:

    (a) Dalam bidang kuasa jenayahnya membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seorang orang Islam di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam yang baginya hukuman maksimum yang diperuntukan oleh Enakmen atau mana-mana undang-undang bertulis itu tidak melebihi tiga ribu ringgit, atau pemenjaraan selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya, dan boleh mengenakan mana-mana hukuman yang diperuntukan bagi kesalahan itu; dan

    (b) Dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberi kuasa untuk mendengar dan memutuskannya,jika amaun atau nilai hal perkara yang dipertikaikan itu tidak melebihi RM 300,000.00 atau tidak dapat dianggarkan dengan wang (tidak termasuk tuntutan hadhanah atau harta sepencarian).