13 Mei 2022, Jumaat - Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) telah mengadakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021, Jasamu Dikenang, Pelancaran Pelan Strategik Dan Sistem E-Trace pada jumaat lalu bertempat di Grand Ballroom, Hotel Concorde, Shah Alam.
Majlis gilang gemilang ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran YB Dato' Haji Haris Bin Kasim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan diiringi YA Dato' Mohammad Adib bin Husain, Ketua Hakim Syarie Selangor, Tuan Salehan bin Yatim, Ketua Pendaftar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis serta Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.
Majlis dimulakan dengan sesi fotografi penerima anugerah bersama dif-dif kehormat seterusnya ucapan aluan oleh YA Ketua Hakim Syarie Selangor dan ucapan perasmian oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sebelum berlangsungnya gimik pelancaran Pelan Strategik Jabatan 2021-2025 dan Projek Inovasi JAKESS.
Antara intipati ucapan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor adalah beliau optimis terhadap keupayaan JAKESS untuk menjadi negeri contoh dalam pengendalian kes-kes mahkamah syariah.
Beliau juga turut menekankan kepentingan penjawat awam di negeri Selangor untuk menyokong dan mencapai segala hasrat Kerajaan Negeri Selangor terutama di zaman kepercayaan rakyat terhadap penjawat awam yang semakin mencabar.
Majlis diteruskan dengan penyampaian anugerah dimulai dengan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021, Anugerah Khas Ketua Hakim Syarie, Anugerah-Anugerah lain, Anugerah 25 Tahun Perkhidmatan dan akhir sekali Penyampaian Sijil Penghargaan Jasamu Dikenang.
Majlis ditutup dengan jamuan dan hidangan bertemakan Aidilfitri yang turut disambut oleh para peserta majlis pada kali ini.
Jabatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor atas kelapangan memeriahkan lagi majlis ini, ucapan tahniah dan syabas kepada penerima-penerima anugerah serta penghargaan kepada urusetia majlis yang bertungkus lumus menjayakan majlis pada tahun ini.