Pada tahun 1900 pula, Majlis Mesyuarat Negeri telah meluluskan Undang-undang Pendaftaran Nikah Kahwin dan Cerai Orang-Orang Islam 1900 (Muhammadan Marriage and Divorce Registration Enactment 1900) iaitu undang-undang berhubung dengan nikah kahwin dan cerai orang-orang Islam di negeri Selangor.
Undang-undang ini memperuntukkan suami atau wali hendaklah melaporkan perkahwinan kepada kadi atau naib kadi daerah dalam masa 7 (tujuh) hari selepas akad nikah dan kadi atau naibnya hendaklah mendaftarkannya dan mengeluarkannya sijil perkahwinan. Begitu juga dengan percerian, hendaklah dilaporkan kepada kadi dalam masa 7 tujuh selepas bercerai dan sijil cerai akan dikeluarkan kepada mereka yang berkenaan. Sekiranya ini tidak dipatuhi, tindakan boleh diambil dengan hukum denda tidak melebihi daripada RM 25.00. Dengan adanya undang-undang tersebut dan untuk membicarakan hal nikah kahwin dan cerai, maka diadakan mahkamah kadi.
Pada tahun 1900 juga, jawatan kadi mula diperluaskan ke daerah-daerah dalam negeri Selangor dan pada tahun 1922 tiap-tiap daerah ada kadinya masing-masing iaitu daerah Klang, Kuala Lumpur, Kuala Langat, Ulu Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Kuala Kubu dan Rawang.