
14 Februari 2022 (Isnin)- Bahagian Penyelidikan dan Pusat Sumber, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (BPPS, JAKESS) telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Bahagian Pusat Sumber Maklumat dan Penerbitan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (BPSMP, JKSM).
Lawatan ini telah disambut oleh Pn. Firdawaty binti Mohammad, Penolong Pengarah Kanan, BPSMP, JKSM. Beliau dalam ucap aluannya telah menerima baik kunjungan ini dan menyatakan kunjungan ini merupakan kunjungan kali pertama dari negeri yang membawa ramai delegasi untuk menuntut ilmu berkaitan pengurusan pusat sumber. Seterusnya, taklimat berkaitan pengurusan pusat sumber dari proses perolehan hinggalah proses pelupusan telah diberikan oleh En. Subardi bin Deraman, Penolong Pustakawan, BPSMP, JKSM. Peserta kemudiannya dibawa melihat sekitar kawasan Pusat Sumber di tingkat 3 dan tingkat 1 oleh Tuan Muhammad Amir Firdaus bin Sidin dan En Mohamad Rizal bin Moata.
Lawatan ini melibatkan 13 orang delegasi yang diketuai oleh Ketua Bahagian Penyelidikan dan Pusat Sumber, Pn Noorbyetty bt Mohd Nasir bersama 3 orang pegawai dan 9 orang AJK Mini Pusat Sumber Daerah.
Lawatan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pegawai dan AJK pusat sumber mengenai sistem pengurusan pusat sumber yang sebenar dan berkesan. Pegawai dan AJK juga boleh menambah ilmu pengetahuan mengenai pengurusan perpustakaan dari sudut penyusunan, pengkatalogan, perekodan dan peminjaman. Selain itu, lawatan ini juga bertujuan menjalinkan kerjasama yang baik di antara BPSMP, JKSM dengan BPPS, JAKESS sebagai penyelaras pusat sumber negeri-negeri.
Lawatan terakhir pada jam 1.00 petang. Semoga perkongsian ilmu ini memberi banyak manfaat kepada kedua-dua belah pihak.