Bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah pula diperuntukan di bawah Seksyen 62(1) iaitu sesuatu Mahkamah Rendah Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri Selangor dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Rendah. Selain itu dalam Seksyen 62(2) dalam akta yang sama menjelaskan bidang kuasa Mahakamha Rendah Syariah iaitu: (a) Dalam bidang kuasa jenayahnya membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seorang orang Islam di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam yang baginya hukuman maksimum yang diperuntukan oleh Enakmen atau mana-mana undang-undang bertulis itu tidak melebihi tiga ribu ringgit, atau pemenjaraan selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya, dan boleh mengenakan mana-mana hukuman yang diperuntukan bagi kesalahan itu; dan (b) Dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberi kuasa untuk mendengar dan memutuskannya,jika amaun atau nilai hal perkara yang dipertikaikan itu tidak melebihi seratus ribu ringgit atau tidak dapat dianggarkan dengan wang (tidak termasuk tuntutan hadhanah atau harta sepencarian).
© Jabatan Kehakiman Syariah Selangor| e-mel |
||||